Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Betul ke nak sambung belajar?

Menyambung pengajian bukanlah satu keputusan yang mudah. Lebih-lebih lagi melibatkan pengajian ketika bekerja. Macam saya, berkali-kali cubaan dibuat untuk sambung pengajian, sejak bermula tamat belajar bachelor sehingga masuk kerja. Tujuan saya tulis page ini, adalah untuk berkongsi, sekiranya anda ingin menyambung pengajian, ii boleh menjadi panduan.

Untuk perkongsian, selepas saya tamat pengajian degree (Bachelor), saya ambil keputusan untuk mengikuti pengajian diploma lanjutan undang-undang dalam pentadbiran kehakiman islam (DAIJ) di UIA. Pada masa yang sama, saya juga mengambil keputusan untuk membuat pengajian sarjana secara research di UM. Alhamdulillah saya tamat pengajian di UIA selepas setahun. Tetapi saya gagal untuk menamatkan pengajian sarjana saya kerana masalah kesempitan duit untuk menaja pengajian. Saya lebihkan masa untuk mencari kerja, dan akhirnya pada 2005 saya diterima masuk sebagai PTD.

Selepas 15 tahun, akhirnya saya mengambil keputusan untuk sambung belajar. Tetapi saya menetapkan kepada diri saya, yang saya hanya akan menyambung pengajian dengan perbelanjaan sendiri. Sebab saya telah berjanji pada diri saya dahulu, untuk menyambung pengajian dengna duit gaji sendiri, kerana pada cubaan kali pertama dahulu saya gagal mendapatkan penajaan dan saya rasa lebih baik saya tumpukan untuk mendapatkan satu karier kepada diri sendiri.

Bila saya mengambil keputusan untuk sambung pengajian pada 2018 di FIM, UITM, saya melalui satu fasa baharu dalam hidup saya. Saya ambil keputusan untuk mengambil pengajian secara fleksibel. Mudah disebut, tapi sebenarnya kaedah ini adalah kaedah yang sukar. Saya mengambil pengajian mod secara felksibel kerana ianya menepati masa saya, yang mana saya sedikit sibuk ketika berada di JPA. (Di JPA saya dasar). Saya tak dapat beri komitmen untuk part-time kerana setengah pengajian turut dibuat ketika waktu pejabat. Untuk full-time, saya tidak berminat sebab ada ikatan dan pada masa yang sama saya perlu meninggalkan tugasan saya di pejabat.

Pengajian secara fleksibel ini memerlukan contact kelas dengan pensyarah setiap tiga minggu. Tapi fleksibel ini memerlukan masa yang lebih banyak untuk bekerja sendiri. Untk pengajian fleksibel, setipa semester ada 3 subjek yang perlu diambil. Dengna setiap subjek ada sekitar 4 assignment, dengan satu adalah berkumpulan. Maknanya setiap semester (3 bulan) akan ada 12 assignment yang berimpak tinggi (Bahasa Inggeris, 20-50 pages, mengikut tahun pengajian, kalau tahun terakhir, kenalah buat assignment 20-30 pages sorang-sorang – ikut kehendak professor masing-masing.) Untuk subjek di semester 3 dan 4, akan ada satu dissertasi untuk 10 jam kredit.

Anda boleh mengambil pengajian sarjana secara fleksibel sekiranya

  1. Mempunyai jadual kerja yang padat
  2. Boleh belajar bersendirian untuk cari bahan bacaan
  3. Boleh belajar dengan bimbingan yang minima
  4. Mampu beri komitmen jangka panjang (2 tahun)
  5. Keluarga memahami, terutama anak-anak, apabila banyak masa hujung minggu dihabiskan untuk pengajian/assignment.

Masa saya mendaftar pada tahun 2018, kami ada 8 orang bersama. Bila tamat, hanya tinggal kami bertiga.

Bagi saya, pengajian berbentuk fleksibel ini adalah paling sesuai dengan cara kerja saya. Jadi saya rasa, kalau tuan/puan nak sambung belajar, kaji dulu kekuatan dan kelemahan masa dan ruang tuan/puan. Barulah putuskan untuk belajar atau tidak. Berikut saya kongsikan beberapa faktor yang perlu diambil kira kalau nak sambung pengajian:

  1. Duit. – Sangat penting untuk dipastikan cukup. Ini untuk elak usaha kita terbantut ditengah jalan. Kos saya di UiTM utk master ni sekitar RM8000 untuk 4 semester. Dan kalau kita ada komitmen keluarga dan kereta, elok disusun elok-elok, terutama sekiranya tak ada penajaan. Macam saya, memang tak nak ambik duit kerajaan untuk belajar master. Dan saya tak nak bercuti ketika nak buat master. Bila time datang nak servis kereta, tukar tayar, ini semua menjadi cabaran.
  2. Masa – ya, seperti duit, masa juga berharga. pastikan anda dapat berikan pengagihan masa yang baik untuk pengajian, assignment dan pembacaan. lecturer saya pesan, cukup untuk 2 jam sehari bagi ruang kepada pengajian. insyaAllah, akan lulus dengan cemerlang dan tidak mengganggu hujung minggu. Tapi itu perancangan, bila berlaku, berbeza. Sebab hari biasa, sangat letih bekerja. Otak kita nak rehat. Jadi terbawak juga kerja master di akhir waktu… dekat due baru kelam kabut. Saya rasa itu budaya dan perangai kita dari kecil.
  3. Ruang kerja – Jika anda nak buat secara sambilan/fleksibel, ini perlu dititip beratkan. Ruang kerja. Tidak beretika untuk kita buat assignment ketika waktu kerja dan kadang-kadang sukar nak buat masa bekerja sebab komitmen kerja. Cuma ini tidak boleh dielak terutama bila dekat dengan due date. Cuma, saya cuba untuk kekal beretika, dengan hanya menggunakan waktu bekerja untuk mencari journal dan bahan di online database atau e-library. Perlu diingat yang pengajian kita perlu mendapat kebenaran majikan. Cuma kerja hakiki perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kalau nak sambung belajar secara part-time/fleksi, pemahaman bos itu sangat penting. Pengalaman saya, ada beberapa hari saya perlu ambil cuti untuk selesaikan kerja master. Dan bos sy sangat memahami.
  4. kemahiran IT – Basic mengenai perkara ini perlu ada. Ini untuk memudahkan urusan kita dalam penulisan dan mendapatkan bahan-bahan rujukan. Pengetahuan asas sangat perlu terutama bagaimana nak buat carian di online database journal/elibrary untuk dapat maklumat yang berkesan. banyak cara untuk dapatkan kemahiran ini.
  5. Otak – Ini juga penting untuk dilihat. Saya rasa saya sedikit lewat untuk bangkit selesaikan master saya, hasrat yang lama yang saya pendam 20 tahun yang lepas. Bila mencapai umur 40 tahun, cabaran sebenar adalah otak. Adakah otak kita masih berotot untuk memerah sel-sel neuron untuk menyambung sel-sel tersebut? Itu perlu dilihat pada keupayaan sendiri. Faktor umor menjadi asbab dalam perkara ini, samada ada otak kita mampu bertahan atau tidak. Cuma, apa yang membantu adalah konsep pengajian master ini memerlukan pengalaman dan pemikiran yang matang.
  6. Ilmtizam – ini yang penting untuk kita jadi istiqaamah. Sebab perjalanan panjang dan kita akan terganggu dengna pasang surut pengajian. Kadang-kadang ada lectrer ‘ganas’. Ada yang mudah. Semua adalah rezki masing-masing. Jadi jangan ikuti pengajian sebab dengar orang kata, pengajian di mudah dll… ikutilah pengajian dengan rasa di hati, minat dan iltizam yang tinggi.

Saya rasa inilah sedikit perkongsian, nanti kita kupas lagi. InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com