Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Kelestarian Melayu: 1

Politik adalah salah satu daripada cabang ilmu. Tiada satu perkataan khusus bagi orang Melayu untuk menggambarkan konsep politik. Ini adalah satu perkataan Inggeris yang diceduk dalam Bahasa Kebangsaan. Berbeza dengan Bahasa Arab, perkataan siasah digunakan sejak daripada zaman khulafa ar-Rasyidin lagi.

Politic dalam Bahasa Inggeris, menurut Oxford Dictionary adalah ” the activities associated with the governance of a country or area, especially the debate between parties having power. ” dan ” activities aimed at improving someone’s status or increasing power within an organization. “Dua penerangan maknanya menunjukkan perkataan ini adalah perkataan yang mempunyai dua direktif, iaitu untuk kepentingan umum dan satu lagi adalah kepentingan sendiri atau sesuatu golongan.

Siasah dalam bahasa Arab bermaksud “Perkataan siyasah pada penggunaannya di sudut bahasa bermaksud ‘mentadbir sesuatu perkara dengan baik’ atau ‘pemerintah mentadbir urusan rakyat” (Mu’jam Wajiz). Dalam bahas Melayu, politik adalah ” ilmu (pengetahuan) berkaitan cara pemerintahan (dasar-dasar pemerintahan dll), ilmu siasah, ilmu kenegaraan” atau “segala sesuatu berkaitan pemerintahan sesebuah negara atau hubungannya dgn negara lain” atau ” kelicikan, muslihat, tipu muslihat”. (Kamu Dewan Edisi Ke-4).

Seingat saya, ada pensyarah di universiti dahulu maklumkan yang siasah itu diambil daripada peerkataan yang menyamai lilit di serban orang Arab, yang digunakan untuk menahan lutut unta daripada bangun. Ironinya, kalau dilihat daipada pengistilahan politik itu sendiri, menunjukkan satu jalur negatif yang mana dikeliling politik itu adalah aura-aura kepentingan sesuatu pihak untuk berkuasa. Kalau dari zaman silam, kuasa diletakkan pada raja-raja secara autokratik dan monarki, tetapi pada zaman sekarang diletakkan pada tangan rakyat melalui sistem demokrasi. Tetapi ini tidak mengubah jalur politik itu melainkan hanya memberi peluang kepada orang selain darah raja-raja untuk memerintah.

Pada titik ini, saya tidak berminat untuk bercakap lebih lanjut mengenai konsep politik. Pengajian ini boleh didapati daripada buku-buku baru atau lama. Yang saya ingin membawa pembaca adalah daripada aspek orang Melayu dalam arena politik. Sejak zaman Melaka, Melayu adalah sebuah bangsa yang sangat setia kepada pemerintahnya. Melayu mementingkan susila, yang menyebabkan mereka sangat dipengerahui oleh pertuanan Raja-raja, dan daripada unsur itu, saya berpandangan Bangsa Melayu lebih mudah jalur politiknya.

Berbeza dengan bangsa-bangsa seperti Inggeris, Cina dan India yang boleh membuang kekuasaaan raja dengan memeluk erat demokrasi rakyat secara nasionalis, sosialis atau komunis, Malaysia, satu-satunya negara yang dirahmati dengan masih mengangkat raja sebagai lambang perpaduan dan maruah walaupun menerima kaedah demokrasi dalam pengurusan negara yang kita sebut “Raja berpelembagaan”.

Di sini saya rasakan, kita bangsa Melayu memerlukan pemahaman yang jelas tentang jalur politik, tanpa kita membelakangkan kepentingan kaum lain di tanah asal kita. Politik yang matang adalah politik positif di mana walaupun dua kumpulan bertembung daripada anutan ideologi dasarnya, tetapi akhirnya mereka akan bertemu pada satu titik iaitu kepentingan warganya.

Kita mahukan ahli politik yang siang malamnya adalah masa untuk rakyat dan tidak ada masa untuknya mengumpul kekayaan. Kita dapat melihat betapa kekayaan itu sangat dekat dengan ahli politik. Sukar untuk kita jumpa ahli politik yang menolak kekayaan, kerana politik datang dengan tempoh kekuasaan. Ada, bukan tidak ada, tetapi jarang kita dengar. Sukar untuk kita cari seorang ahli politik membawa kekayaannya ke dala mdunia politik untuk dihabiskan kepada rakyat. Yang biasa kita denganr, seorang itu kaya, akan bertambah kaya dengan politik.

Bagi saya melayu adalah satu bangsa matang, yang dibangunkan sejak tahun 1400. Ketamadunan kita memperagakan bahawa Melayu juga boleh duduk sebaris dengan bangsa-bangsa lain. Mungkin Malaysia adalah satu wadah yang masih baru, 63 tahun usianya. Tetapi bangsa melayu telah wujud lebih lama daripada tempoh itu, dan 600 tahun yang nenek moyang kita bangunkan bukanlah untuk kita sia-siakan.

Bagi saya, politik adalah salah satu daripada strategi umat Melayu yang pada saya disadur dengan satu keunikan, iaitu nilai siasah Islam. Adunan ini menjadikan orang Melayu satu bangsa yang sangat lembut, disenangi dan disukai. Satu bangsa yang berusaha untuk mengusai semua bidang, dan menyokong antara satu sama lain.

Politik Melayu bukanlah politik perseorangan. Politik Melayu ialah politik kolektif yang memerlukan sokongan antara satu orang dengna orang yang lain. Kumpulan-kumpulan cerdik pandai Melayu, harus duduk semeja untuk menggarap strategi-strategi bagi memastikan anak-anak Melayu kita pada masa hadapan mempunyai jatidiri dan mengangkat martabat nilai dan kesopanan yang tinggi.

Kita cuba lihat 5-10 tahun akan datang, ke mana tempat anak-anak kita kalau kita tidak menyusun strategi itu sekarang. Kita bertuah kerana kita mengusai pentadbiran pada hari ini, tetapi kita tidak boleh sampai ke akhirnya kita menjadi pengguna akhir. Kerana ruangan sebagai pentadbir semakin hari semakin mengecil. Kita perlu pulang kepada tradisi nenek moyang kita yang menjadikan kita sebagai penyedia perkhidmatan atau pengguna tengah. Kalau pun kita sukar untuk menembusi pasaran lain, biarlah untuk pasaran kita sendiri.

Harap saya adalah, ada diluar sana, anak-anak yang sedang dididik dengan baik, ada di luar sana, para pemuda yang dididik dengan baik, dan di luar sana, ada para dewasa kita yang sedang berusaha untuk mempertingkatkan martabat bangsa. Berusaha bukan dengan sibuk mematikan hujah, tetapi berusaha untuk memerah keringat, peluh di dahi dan air mata darah, untuk pembangunan sebuah tamadun Melayu yang disegani.

Saya tidak bertindak rasis bila berbicara soal bangsa saya. Sebaliknya saya bertindak dengan penuh harmoni untuk kemajuan bersama.

Semoga Allah merahmati kita. Salam jumaat. /ah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com