Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Matangkah Politik Malaysia?

Hari ini saya membaca di dada akhbar berkenaan pemilihan dalam sebuah parti yang sedang memerintah Malaysia. Seolah-oleh wujud dua kem yang sedang mempromosikan ideologi masing-masing untuk mendepani cabaran kepimpinan dalam parti tersebut. Saya berpandangan, bukannya kedua kem dalam parti ini bertelagah, tetapi hanya tidak bersetuju dalam langkah atau stategi yang diambil yang mungkin tidak melalui kaedah yang melibatkan semua orang dalam membuat keputusan. Saya turut percaya, setelah seberapa lama berada dalam pengurusan organisasi, ada keadaan di mana keputusan diambil berdasarkan perbincangan dengan beberapa orang yang kita percaya untuk membantu kita berbanding dalam saluran musyawarah yang lebih luas yang mungkin menyukarkan untuk membuat sesuatu keputusan. Jadi, saya tak mahu ulas lebih. Saya memahami konsep ijtihad pemimpin. Kata putus terletak kepada pemimpin tentang kaedah dan keputusan yang ingin dibuat dan selepas itu kita bertawakkal.

Tetapi bagi saya, ini adalah politik, dan bagi saya politik boleh datang dan pergi, sementara yang kekal adalah jentera Kerajaan yang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam yang menguruskan negara atas lantikan dan perintah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong (YDPA). Kita harus bersedia.

Kita melihat kerajaan terdahulu telah memerintah selama hampir 62 tahun tanpa ada masalah yang besar sehinggalah beberapa isu timbul tanpa penyelesaian yang memuaskan hati rakyat yang kemudiannya menyebabkan rakyat membuat keputusan untuk menukarkan kepimpinan dan saya juga percaya wujud faktor lain yang memberi kepercayaan kepada rakyat bahawa kerajaan baharu juga berupaya seperti kehadiran semula YAB Tun dalam arena politik dan pentadbiran negara. Saya lebih kepada kepercayaan bahawa kerajaan baharu yang dilantik rakyat ini mendapat mandat rakyat adalah kerana rakyat yang menggerakkan ombak perubahan, sebelum tsunami politik berlaku secara hampir total di negara kita pada PRU-14. Kehendak rakyat tidak dapat dibendung dengan tindakan demokratik mereka melalui undi kepada negara. Saya merasakan isu-isu yang besar yang tidak memuaskan hati rakyat dan faktor kehadiran YAB Tun menyebabkan rakyat mempunyai alternatif pada pilihanraya kali ini.

Namun, adakah kita melihat rakyat kita akan mengulanganinya pada pilihanraya akan datang? Adakah perubahan pada PRU-14 adalah perubahan kerana kematangan politik, atau rakyat sebenarnya tidak kisah dengan politik, tetapi hanya mahu bertindak sesuatu. Pengalaman saya pulang ke kampung dalam beberapa pilihan raya, kepulangan saya untuk mengundi PRU-14 ini mungkin paling mencabar. Daripada Gombak ke Bentong sahaja, saya beratur dalam kesesakan untuk tempoh hampir 5 jam. Perjalanan keseluruhan mengambil masa 10 jam, walaupun kebiasaanya hanya mengambil masa 4 setengah jam sahaja. Bayangkan kesulitan yang ditempuh dan ini hampir menyamai kesesakan ketika pulang berhari raya. Bayangkan jumlah kenderaan yang balik ke Kampung halaman untuk mengundi. Sentimen rakyat kepada pemilihan hari mengundi dan keputusan-keputusan Kerajaan terdahulu terhadap pembangkang pada waktu itu menyebabkan rakyat memberi simpati kepada pembangkang.

Sekiranya rakyat matang berpolitik, saya percaya masa yang ada kepada kerajaan baharu ini tidak banyak. Berilah tempoh tiga bulan, atau setahun, atau dua tahun atau lebih lama, tempoh ini sangat kritikal untuk Kerajaan baharu membuktikan kepada rakyat bahawa kehadiran mereka adalah jawapan kepada kehendak rakyat. Atau rakyat akan mula mencari alternatif untuk memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik pada pilihanraya yang akan datang.

Kerajaan baharu perlu menjadikan anggota pakar dalam Perkhidmatan Awam sebagai penasihat utamayang penting untuk menggerakkan agenda reformasi, transformasi or whatever they call it. Mendapat undi adalah mudah berbanding memiliki hati orang yang mengundi kita. Memiliki hati dan budi bermakna apa pun keadaan, seseorang itu akan tetap berpaut kepada kita apabila kita memiliki hati mereka. Sebaliknya, orang mudah mengubah pendirian sekiranya hati mereka tidak tertawan oleh kita.

Perlu diingat, penjawat awam memainkan peranan yang besar dalam negara, dan pada masa yang sama, penjawat awam sama ada sektor keselmaatan, pentadbiran, kesihatan, pendidikan atau selainnya merupakan sektor yang paling setia kepada negara, walau apapun keadaan negara, dan sekiranya negara masih memerlukan mereka. Saya percaya, anggota perkhidmatan awam memahami sedalamnya konsep government of the day, dan pada masa yang sama, mereka faham apa tanggungjawab mereka kepada YDPA dan negara.

Semoga rakyat Malaysia memahami konsep demokrasi untuk menjadikan mereka matang dalam menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Politik adalah wadah untuk mengisi kemerdekaan yang seharusnya kita pertahankan kebebasan ini setiap masa. Ahli politik, mereka datang dan pergi, yang tinggal adalah kita rakyat yang mendokong negara. Dirgahayu Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com