Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Perkahwinan Bawah Umur

Hari ini tajuk utama berita adalah perkahwinan di bawah umur. Dalam beberapa bulan ni, agak sedikit kecoh apabila ada orang pertengahan umur mengahwini adik-adik umur belasan tahun yang disifatkan sebagai perkahwinan di bawah umur. Pertembungan antara idealist modern dengan nilai masyarakat sedia ada, menjadikan perkara ini suatu isu yang besar dalam masyarakat. Para idealist bimbang, perkahwinan tersebut akan menjadi jalan singkat kepada eksploitasi kanak-kanak.

Takrifan Kanak-kanak

Bahasa undang-undang yang mudah, seorang itu dianggap kanak-kanak sekiranya berumur kurang daripada 18 tahun. Maknanya, seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan apabila di bawah 18 tahun, akan diadili  sebagai seorang kanak-kanak walaupun kepada kesalahan membunuh atau pengedaran dadah. Dalam konteks undang-undang perkahwinan, terma yang diguna pakai bagi kumpulan ini lebih kepada “di bawah umur”. Dalam Undang-undang Perkahwinan Islam di negara kita, di sesetengah negeri, ianya merujuk kepada perkahwinan dengan gadis di bawah umur 16 tahun.

Islam tidak melarang perkahwinan di bawah umur, tetapi Kerajaan telah menentukan undang-undang pentadbiran bagi perkahwinan ini iaitu hendaklah melalui kelulusan khas mahkamah. Undang-undang ini bertujuan untuk memastikan kanak-kanak ini bersedia dari segi mental dan fizikal untuk bertindak sebagai seorang isteri kepada suaminya dan seterusnya menjamin masa depan kanak-kanak tersebut dalam masyarakat. Hakim syarie akan menilai kedudukan ini dan memutuskan sama ada perkahwinan tersebut boleh berlaku atau tidak, secara sukarela, memahami tugas dan sebagainya.

Polimik

Masayarakat hari ini agak sukar untuk menerima perkahwinan di bawah umur. Sistem masyarakat moden yang telah menyediakan laluan khusus kepada anak-anak remaja untuk mendapat peluang pendidikan dan kemodenan masyarakat telah menyebabkan perbezaan penerimaan terhadap hukum berkahwin di bawah umur. Kalau di lihat pada zaman dahulu, biasa kita mendengar nenek-nenek kita yang berkahwin di usia awal belasan tahun. Saya pernah mendengar dua tiga pupu ibu saya yang berkahwin di usia 12-13 tahun. Kita juga pernah mendengar anak-anak orang asli yang berkahwin diusia yang sangat muda iaitu 10-12 tahun. Setengahnya telah memiliki seorang anak pada usia 11 tahun. Kematangan antara remaja pada hari ini dengan remaja seusia pada 50 atau 60 tahun yang lepas, pada pendapat saya, sangat berbeza. Cara membesar dan taraf hidup membezakan mereka daripada kelompok dua masa yang berbeza ini.

Penyelesaian

Saya berpandangan undang-undang sedia ada telah mencukupi untuk memberi fleksibiliti dalam perkahwinan muda ini. Islam datang dalam keadaan mudah dan membantu masyarakat hidup harmoni. Sesuatu perkara ada baik dan buruknya. Baik buruk ini bergerak dengan masa dan berubah dengan masa. Dalam konteks masyarakat moden, perkahwinan bawah umur ini perlu dilihat daripada sudut pembesaran kanak-kanak. Bagilah anak-anak ini peluang untuk mendapat pendidikan dan hidup yang sempurna. Sekiranya alasan kemiskinan digunakan untuk perkahwinan, saya melihat alasan ini sedikit rapuh, kerana seseorang itu boleh membantu menyekolahkan si gadis daripada dia mengahwininya. Walau bagaimanapun, jangan salah tanggap pada pandangan saya bahawa saya menolak perkahwinan bawah umur. Saya mengiktiraf keharusan perkahwinan di bawah umur berasaskan prinsip Islam dan pelaksanaannya dalam masyarakat moden mengikut peraturan moden yang ditetapkan untuk menjaga integriti sosial masyarakat.

Bagi saya penyelesaian kepada perkara ini terletak atas pemahaman Islam yang sebenar. Melalui pemahaman yang sebenar, dapat memberi ruang untuk kita melindungi anak-anak. Anak-anak perlukan perlindungan kita, perlindungan masyarakat dan perlindungan undang-undang.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com