Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Saya Sayang Ayah

Saya lahir daripada keluarga yang susah. Orang kampung, yang ayah seorang buruh kasar pemandu lori. Dalam surat beranak saya, tertulis pekerjaan ayah buruh kasar. Ayah bermula yatim, kemudian berpindah dari Kuala Terengganu ke Kemaman. Berkahwin dengan ibu, orang kampung sebelah di Manir, sebelum bawa ibu ke Kemaman. Ayah membesarkan kami 7 beradik. Saya yang terakhir. Sedikit mewah jika dibanding dengan kakak-kakak yang lain. Mungkin kerana peringkat akhir pekerjaan ayah, dibantu oleh kakak-kakak yang mula bekerja. Alhamdulillah, 4 daripada kakak adalah guru. Semuanya dah agak senior. Kakak saya ke lima, pensyarah senior di UniKL. Sekarang menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang pengkomputeran. Manakala abang saya seorang pensyarah kanan, baru-baru ini dinaikkan pangkat sebagai Prof Madya di UnisZA, Terengganu. Saya, di sini. Seorang pegawai tadbir yang akan berpindah ke Jabatan baru pada minggu hadapan. Selepas 14 tahun perjalanan dalam perkahidmatan kepada Kerajaan, saya masuk ke fasa baharu. Jabatan baharu, dan saya juga baru memulakan pengajian sarjana saya secara separuh masa di UiTM dalam bidang pengurusan maklumat.

Saya tidak hairan dengan diri saya. Saya tidak hairan dengan kakak-kakak saya dan abang saya. Yang saya hairankan adalah bapa saya. Saya dikurniakan Allah dengan 4 anak lelaki.  Dengan 4 orang lelaki ini, dan isteri saya yang berkhidmat sebagai pegawai IT di sebuah kementerian, membesarkan mereka saya terasa peritnya. Boleh dikatakan pendapatan saya diperuntukkan hampir seluruhnya untuk tabungan dan kos mereka. Jadi saya hairan, bagaimana bapa saya dahulu berupaya membesarkan kami walaupun pendapatannya kurang RM400.

Nukilan saya malam ini hanyalah untuk mengenang kembali ayah saya di kampung. Besar pengorbanannya pada kami. Semoga Allah diberi rahmat dan keampunan sepanjang ayah habiskan sisa-sisa hidup bersama ibu tercinta di kampung. Semoga Allah berikan destinasi yang terbaik untuk ayah kelak.

Saya tulis nukilan ini sebagai satu tanda bacaan untuk anak-anak saya, agar kelak dia tahu yang tokki mereka seorang yang hebat. Agar mereka tahu, tokki mereka mempunyai sejarah yang mengkagumkan. Daripada yatim, dibesarkan oleh pelbagai orang, akhirnya berjaya membesarkan kami. Tiada gelaran bapa mithali untuk ayah oleh pemerintah. Tapi gelaran teristimewa sebagai bapa mithali bagi saya tetap tersemat di hati saya khas untuk ayah. Semoga Ayah sejahtera. Semoga doa saya untuk ayah akan diterima Allah swt sebagai keampunan untuk ayah. Sepertimana ayah mendidik kami dari kecil.

Saya sayang ayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com