Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Tahfiz, Pondok dan Escapism

Dewasa ini, pendidikan tahfiz menjadi tumpuan ibu bapa. Kalau sebelum ini, para ibubapa hanya menitik beratkan keupayaan anak-anak untuk mengenal bacaan al-Quran, tetapi sekarang para ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak ke sekolah berkonsepkan tahfiz demi kemaslahatan agama anak-anak. Ada ibu bapa menghantar anak ke tahfiz atas keinginan anak-anak. Tidak kurang juga, anak-anak dihantar atas cita-cita ibu bapa. Dan ada juga segelintirnya yang menghantar anak-anak ke pondok pengajian agama atau tahfiz kerana si anak tidak lagi boleh melalui sistem biasa persekolahan mungkin kerana masalah disiplin, minat dan sebagainya yang saya gunakan istilah escapism.

Namun begitu, tulisan saya ini bertujuan untuk memberi sedikit pandangan kepada ibu bapa sebelum memilih haluan pengajian anak-anak. Tidak dinafikan juga, di samping pondok atau institusi khusus untuk pengajian tahfiz, terdapat juga institusi yang menawarkan pengajian tahfiz secara parallel dengan pengajian bukan aliran agama. Sebagai contoh, beberapa IPTA turut menawarkan program tahfiz di bawah persijilan diploma dan pada masa yang sama pelajar tersebut akan mengikuti pengajian kejuruteraan, sains ataupun perubatan. Langkah ini harus dipuji yang mana hasrat pembangunan modal insan dilaksanakn menyeluruh, dengan harapan pengajian tahfiz akan menjadikan pelajar lebih berintegriti dan berakhlak terpuji selayaknya bagi seorang penghafaz al-Quran.

Namun begitu, saya ingin mengajak pemikiran pembaca kepada hakikat sebenar pengajian agama. Pengajian agama adalah suatu pengajian ilmu yang luas. Dalam ertikata lain, menghafal al-Quran bukan menandakan kefahaman seluruhnya, atau segala-galanya dalam Islam, kerana hafalan al-Quran menjadi asas yang kecil dalam pengkajian agama. Dalam sejarah silam, para ulama dahulu menjadikan penghafalan al-Quran sebagai ciri atau trait paling asas dalam pengajian ilmu agama. Ini bersandarkan kedudukan pembukuan al-Quran terhad dan pada masa yang sama, al-Quran bertindak sebagai asas sebelum seseorang pergi ke ilmu yang lebih dalam seperti akidah, pemikiran islm, syariah dan sebagainya. Sedang pengajin agama mencakupi keseluruhan disiplin bagi pengajian syariah atau usuluddin yang memerlukan pelajar mempelajari secara rampaian bagi pengajian terasnya seperti ilmu usul fiqh atau pengajian al-Quran dan sunnah.

Saya pernah mendengar rakan-rakan di Durban, India yang mengikuti pengajian hadith di sana, budaya hafalan al-Quran dalam masyarakat Islam di India bermula seawal 6 tahun dan sekitar 10 tahun kanak-kanak telah menghafaz keseluruhan al-Quran. Sebab itu menurutnya, adalah menjadi pemandangan biasa di pasar-pasar, para penjaja membaca al-Quran secara hafalan sambil menunggu pelanggan bagi jualan mereka. Cuma dalam masyarakat kita, yang berbeza rumpun bahasa antara bahasa Melayu dan Bahasa Arab, tumpuan bagi tempoh 6-10 tahun ini lebih kepada keupayaan mengenal untuk membaca al-Quran dan kanak-kanak hanya diajar menghafal surah surah di akhir bahagian Juz Amma (Juz 30) atau surah-surah pilihan yang utama dan seterusnya tumpuan diberikan untuk mengenal bacaan bagi bacaan pada surah yang besar bermula dengan Surah al-Baqarah.

Amatlah penting untuk kita fahami tujuan kita mengkehendakkan anak-anak kita mengikuti pengajian tahfiz ini. Sekiranya pengajian secara khusus yamg mana pelajar akan menghafal al-Quran dan pada masa yang sama akan mengikuti pengajian lain seperti aqidah, sirah, fiqh utk ibadat, muamalat dan selainnya, pengajian ini dilihat lebih memberi kefahaman tentang agama kepada pelajar. Pengajian seperti ini lebih selamat untuk membantu pelajar duduk di tengah-tengah masyarakat secara berwibawa bukan sahaja untuk pemakaian diri sendiri tetapi juga ilmu yng boleh dikongsi dengan masyarakat.

Sebaliknya, bagi pengajian tahfiz secara sampingan, akan memberi cabaran yang besar kepada anak-anak untuk memahami pengajian Islam secara seluruhnya dan untuk dikongsi pada masyarakat. Saya pernah menemubual seorang anak pelajar yang mengikuti kelas tahfiz di sekolah menangah secara sampingan, beliau menyuarakan kegusaran kerana aliran pengajiannya menjurus kepada pengajian sains sedangkan keinginan untuk memahami selok belok ilmu agama sangat membuak-buak dalam diri mereka. Selain berperasaan sedikit tidak yakin dan kekuatan hafalan, mereka juga terpaksa mencari pengajian ilmu agama secara berasingan selepas memanatkan pengajian aliran tersebut. Justeru, mereka sedar bahawa mereka perlu menggandakan usaha dan tenaga bagi mencapai tujuan tersebut.

Dalam hubungan ini, ibu bapa perlu jelas dengan hala tuju anak-anak untuk mengikuti pengajian tahfiz. Ini sangat penting untuk meringankan beban hafalan pelajar kerana ini merupakan cabaran terbesar kepada pelajar untuk mengekalkannya bagi mengagungkan al-Quran. Kita sebagai ibu bapa perlu bersikap adil kepada mereka dalam membantu mereka memilih haluan mereka ini.

Namun bagi saya, sedikit malang sekiranya tahfiz ini dilalukan semata-mata untuk tujuan saingan, pemasaran dan relevensi sesuatu institusi dan penghantaran anak-anak atas dasar ikut-ikutan ibu bapa dengan persekitaran masa kini. Hafalan adalah amanah dan kita harus memberikan ruang kepada anak-anak untuk menimba ilmu seperti kita sendiri melainkan anak-anak ini menunjukkan minat dan berkebolehan yang luar biasa dalam usaha hafalan tersebut.

Tepuk dada anak, bukan dada dan selara kita sahaja.

Semoga nukilan ini bermanfaat dan menjadi asas pemilihan haluan untuk anak-anak kita.

/ah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com