Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Tiada Bayaran Yang Mencukupi

Semalam ketika berkelana di laman sosial, terbaca berkenaan tulisan seorang ustaz berkenaan bayaran kepada ustaz yang mengajar agama. Kesian bunyinya.

Saya memahami bahawa mereka tidak berniat untuk meniagakan agama. Jauh sekali nak jadikan agama sebagai komoditi. Saya memahami perasaan mereka yang belajar dalam pengajian Islam. Sesetengah daripada mereka mengajar agama sepenuh masa. Jadi tidak boleh tidak mereka memerlukan bantuan untuk meneruskan kelangsungan usaha mereka.

Jawapan kepada persoalan ini mudah. Saya selalu berkata, bahawa ayat al-Quran telah selalu menyebut “sesungguhnya upahku hanya daripada Allah” bermakna bukanlah usaha para pendakwah untuk mengaut keuntungan dunia, tetapi hanya untuk redha Allah swt semata.

Saya juga berkata, apa yang disampaikan oleh para ulama bukanlah ada tolok bandingnya dengan kesenangan dunia. Walaupun ilmu yang dinyatakan itu tampak mudah dan ringkas sebab semuanya berada dalam kalimah Allah. Tidak ada apa di atas dunia dapat menandingi nilai satu kalimah yang Allah turunkan kefahamannya kepada manusia yang tidak terjangkau dengan pemikiran manusia sebelumnya. Walau pun manusia menghimpunkan khazanah tujuh lautan, itu tidak setanding dengan ilmu Allah.

Namun menjadi adat manusia berkehendak kepada keperluan dunia. Jadi tidak salah pendakwah menerima sedikit saguhati daripada penganjur atau orang awam untuk kesenangan duniawi para pendakwah dan keberkatan orang awam itu. Ini selaras dengan kisah-kisah para ulama yang menerima hadiah daripada orang awam seperti beras dan gandum untuk mencari keberkatan dalam pencarian mereka.

Jangan memandang jelek kepada pendakwah kerana mereka menerima hadih berupa nilaian duit atau sebagainya. Ia tidak bersalahan dengan prinsip dakwah dan tidak sama dengan berniaga agama.

Semoga hermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com