Amir Hamzah

Sepanjang Jalan Kehidupan

Wajah Baharu Pentadbiran Islam di Malaysia

Setelah hampir 44 tahun meninggalkan kerusi Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri yang kali terakhir disandang oleh PAS pada tahun 1977, pada 26 Ogos 2021, PAS kembali menduduki kerusi tersebut dengan pelantikan Senator Idris Ahmad yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Beliau dibantu oleh YB Datuk Marzuk Shaary yang kekal sebagai Timbalan Menteri bagi hal ehwal Islam ini oleh YAB Perdana Menteri. Melalui pelantikan ini, kita akan melihat bahawa tanggungjawab memajukan Islam di Malaysia terletak terus dipundak Parti ini. Dan kita tahu, bahawa jawatan tertinggi bagi hal ehwal Islam persekutuan ini bukanlah satu kerusi yang mudah. Namun penulisan ini tidaklah berbentuk politik, sebaliknya adalah berbentuk pentadbiran semata-mata.

Umum mengetahui bahawa di bawah Perlembangaan Malaysia, Islam adalah merupakan kuasa eksklusif sultan-sultan Melayu bagi negeri-negeri bersultan, sementara Yang DiPertuan Agong (YDPA) merupakan kuasa khusus bagi negeri-negeri tidak bersultan seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah-wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak. Ini bermakna, Para Sultan mempunyai kuasa mutlak berkaitan perkara agama. Walaupun kepelbagaian ini dilihat sebagai satu cabaran kepada pentadbiran Islam kerana kepelbagaian kaedah pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri, tetapi hal ini perlu dilihat daripada sudut positif, iaitu kepelbagaian ini menjadikan Islam sebuah agama yang menepati keperluan masyarakat tempatan yang mempunyai kepelbagaian budaya di Malaysia.

Penubuhan institusi Islam di peringkat Persekutuan merupakan kesedaran bahawa wujud ruang untuk pentadbiran agama Islam ini diseragamkan tanpa mengurangkan kuasa-kuasa esklusif Raja-raja Melayu bagi urusan berkaitan agama Islam di negeri masing-masing. Penubuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam (Baheis) atau kemudiannya dikenali sebagai JAKIM, yang secara umumnya menyemarakkan perkembangan Islam secara tuntas telah dilihat berjaya mewujudkan sebuah pentadbiran agama Islam yang seragam daripada sudut pentadbirannya. Ini sesuai dengan konsep Islam itu sendiri, iaitu sebagai agama wasatiyyah, atau sebuah agama yang paling tepat dan sesuai untuk umat manusia. Pelbagai inisiatif diwujudkan seperi pewujudan Majlis Kebangsaan Islam (MKI) yang menjadi platform kepada penyegaraman pentadbiran Islam di bawah kuasa eksekutif di Malaysia. Begitu juga penubuhan Jabatan seperti Jabatan Kehakiman Islam Malaysia (JKSM) yang bertindak sebagai badan penyelaras berkait perundangan syariah di Malaysia sejak tahun 1998, telah memberi perkembangan yang positif dalam pengurusan mahkamah syariah di Malaysia, tanpa mengurangkan kuasa-kuasa Raja-raja Melayu.

Pentadbiran Islam memerlukan perkembangan ke peringkat seterusnya. Setelah hampir 20 ke 30 tahun kewujudan badan-badan Agama di peringkat persekutuan ini, wujud keperluan untuk mengkaji langkah-langkah yang lebih positif ke arah memartabatkan Islam di Malaysia. Langkah positif ini hendaklah selaras dengan tuntutan kemodenan dan perkembangan semasa seperti penggunaan perhubungan atas talian yang mempertingkatkan keupayaan penyampaian maklumat berkaitan Islam kepada Masyarakat, juga mempertingkatkan penyeragaman pentadbiran Islam.

Perluasan kuasa syariah juga perlu dilihat sebagai salah satu alternatif untuk mewujudkan Keluarga Malaysia yang berjaya. Kita yakin bahawa Undang-undang syariah merupakan undang-undang terbaik bagi masyarakat kita dalam pengurusan diri dan kekeluargaan yang menjadi asas kepada pembentukan Keluarga Malaysia. Bidangkuasa yang lebih besar perlu diberikan kepada Mahkamah Syariah sebagai kaedah yang terbaik dalam pemerkasaan Islam. Begitu juga kaedah hukuman yang perlu dilihat lebih islamik seperti pemenjaraan orang salah tidak dicampurkan dengan pesalah-pesalah Sivil yang kebanyakan bersifat jenayah berat seperti membunuh, merompak dan sebagainya. Pengwujudan pusat tahanan syariah wajar difikirkan untuk membolehkan pesalah-pesalah syariah ditahan dan pada masa yang sama disedarkan terhadap tanggunjawab syarie. Program pembangunan perlu dirangka untuk membolehkan pesalah-pesalah syarie tersebut sedar taantang apa yang perlu dilaksanakan oleh mereka. Sebagai contoh, undang-undang berkait keganasan rumah tangga orang Islam juga boleh diberikan kepada Mahkamah Syariah yang pada masa yang sama mengurangkan beban bagi urusan di Mahkamah Sivil.

Saya berharap pembangunan Islam akan dinobatkan sebagai salah satu elemen utama dalam pembentukan Keluarga Malaysia. Adalah penting untuk semua pihak berganding bahu, merentasi ideologi politik dalam pembangunan Islam di Malaysia, kerana Islam adalah perkara yang tertinggi seperti mana kata-kata Rasulullah s.a.w: “Islam itu paling tinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi melebihinya”. Apabila bercakap mengenai Islam, ianya bukanlah ciptaan mana-mana parti politik, sebaliknya, iainya sebuah wadah iman yang perlu diperjuangkan oleh setiap pemimpin dan rakyat terhadap kehidupan yang lebih sempurna di dunia dan kesejahteraan berkekalan di akhirat. InsyaAllah.

Disclaimer: Pandangan dalam penulisan ini adalah pandangan peribadi saya selaku penulis dan bukan dibuat atas kapasiti rasmi saya dalam Jabatan dalam pentadbiran Islam di Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com